SEGALANYA bermula semasa cuti persekolahan tahun lepas, ketika sekumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Melaka cuba menggunakan konsep sel voltaik yang dipelajari dalam kelas Kimia semasa Tingkatan Empat.
Dengan bimbingan guru Biologi, Wan Rohila Wan Hassan, pelajar Tingkatan Lima iaitu Mohd. Syafiq Abd. Aziz, Muhammad Dhiyauddin Asyraf Abd. Jalal dan Mohamad Nazmi Muhamad Norrizal berjaya menghasilkan sel garam menggantikan bateri kering.
Ramai yang bertanya mengapa perlu menggantikan bateri kering dengan sel garam?
Selama ini banyak barangan kecil seperti lampu picit, lampu hiasan dan juga jam dinding menggunakan bateri kering. Tetapi tidak ramai yang tahu kaedah melupuskan bateri dengan baik selepas peranti itu tidak lagi mampu mengalirkan kuasa.
Ramai yang tidak membuang bateri dengan betuk selepas digunakan dan hanya melontarkan ke dalam tong sampah. Pembuangan bateri yang tidak betul menyebabkan pencemaran toksik plumbum tersebar secara meluas.
Jika plumbum memasuki tubuh, ia akan menyingkir logam-logam lain yang berguna di dalam tubuh manusia lalu menyebabkan kesan buruk.
Bertitik-tolak daripada kesedaran itu, selain teruja dengan dasar kerajaan ke arah teknologi hijau mendorong tiga remaja pintar ini menghasilkan produk 'Sel Garam: Sumber Tenaga Alternatif.
Produk berkenaan berjaya memikat hati juri sehingga membolehkan mereka membawa pulang pingat emas semasa Pameran Rekacipta Remaja Antarabangsa (IYIE) 2012 di Tainan, Taiwan dari 11 hingga 13 Februari lalu.
Tapi bolehkah garam menghasilkan tenaga yang sama seperti bateri?
Menurut Dhiyauddin Asyraf, sel garam mampu menggantikan bateri kerana boleh menghasilkan voltan.
"Malah garam boleh menghasilkan voltan lebih tinggi berbanding bateri biasa dan beroperasi lebih lama," katanya semasa ditemui di sekolahnya baru-baru ini.
Mohd. Syafiq pula berkata, bateri sel garam dapat mengurangkan pencemaran yang terhasil daripada bateri sekali gus menjaga alam sekitar.
"Sel garam hanya menggunakan kepingan logam kuprum dan magnesium dalam proses elektrolisis dan garam sebagai elektrolit, arus elektrik dapat dihasilkan," katanya.
Penggunaan sel garam amat mudah kerana hanya memerlukan air garam dengan kepekatan tertentu yang disambungkan kepada dua kepingan logam.
Larutan garam tadi diletakkan di dalam bekas yang dibahagikan kepada empat bahagian yang direka khas dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Melaka.
"Bekas berkenaan diperbuat daripada bahan ABS tetapi sebenarnya ia boleh menggunakan apa saja jenis bahan kecuali logam," katanya.
Cara menggunakan sel garam kata Mohamad Nazmi amat mudah.
"Hanya bancuh garam dengan kepekatan yang ditentukan, sediakan satu kepingan logam magnesium dan kuprum.
"Dalam satu bahagian, letakkan dua kepingan logam yang mewakili satu sel bateri kemudian sambung kepada wayar dan lampu hiasan LED sudah menyala," katanya.
Lampu yang menggunakan sel garam boleh digunakan selama dua hari jika dipasang dengan berterusan.
Menurut Mohamad Nazmi, ramai yang berminat dengan produk sel garam yang dipamerkan kerana garam yang digunakan boleh dibancuh sendiri oleh pengguna.
Selain garam, pengguna hanya perlu menggantikan kepingan magnesium selepas tujuh kali penggunaan.
"Kos bagi satu sel garam ini amat murah hanya RM6.60 selain mesra alam dan mengurangkan pencemaran akibat pembuangan bateri yang tidak betul," katanya.
Mengulas kejayaan yang dikecapi di Taiwan, Muhammad Dhiyauddin berkata, semasa di sana banyak syarikat yang berminat dengan inovasi mereka.
"Sel garam adalah satu prototaip dan masih boleh diperbaiki untuk kegunaan peralatan elektrik lain yang mudah alih," katanya.
Sementara itu Timbalan Pengetua Hal Ehwal Akademik MRSM Terendak, Melaka, Hazlina Jaafar berkata, pihaknya amat berbangga dengan kejayaan pelajarnya mengharumkan nama sekolah berkenaan sejak 29 tahun penubuhannya.
"Kami berharap kejayaan ini dapat membuka jalan kepada pelajar lain untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan," katanya.
Arkib : Utusan
No comments:
Post a Comment