KOTA BHARU: “Bukan seorang, tetapi dua orang melepaskan beberapa das tembakan ke arah pemandu van itu,” kata seorang lelaki yang melihat seorang peniaga pasar malam dan adik perempuannya ditembak empat das di lampu isyarat di hadapan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari itu, mangsa, Mohd Hassan Mohd Ali, 40, cedera di paha dan betis kiri dan kini dirawat di HUSM, manakala adik perempuannya, Norsiah Mohd Ali, 34, cedera di pergelangan tangan kanan dan pipi kanan akibat terkena serpihan kaca, turut dirawat di hospital sama.
Saksi yang enggan dikenali itu mendakwa, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
Menurutnya, dia melihat sebuah motosikal ditunggang dua lelaki menghampiri sebuah van yang dalam perjalanan dari Pengkalan Chepa ke Kota Bharu berhenti di lampu isyarat.
“Seorang daripada mereka kemudian melepaskan beberapa das tembakan dan terus beredar. Penunggang motosikal itu membuat aksi ‘zig zag’ ketika melarikan diri. “Selepas ditembak, pemandu van cuba keluar daripada kenderaannya tetapi muncul sebuah kereta dari arah belakang menghampiri van itu. Saya terkejut pemandu van itu sekali lagi ditembak beberapa das oleh penumpang kereta berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dan adik perempuannya yang menaiki van dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kedai Bharu, Banggol, Binjai selepas berniaga di Kota Jembal, Kubang Kerian.
“Mangsa berhenti di lampu isyarat sebelum secara tiba-tiba sebuah motosikal dinaiki dua orang menghampiri van itu. Pembonceng turun daripada motosikal dan melepaskan empat das tembakan terhadap pemandu van sebelum beredar meninggalkan tempat kejadian.
“Kemudian, kereta Satria Neo di belakang van itu menghampiri van dan penumpang kereta itu turut melepaskan tembakan,” katanya.
“Mangsa dikejarkan ke HUSM untuk mendapatkan rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan,” katanya.
dalam berita yang lain,
KOTA BHARU: Seorang anggota polis wanita yang kini digantung tugas kerana kes khalwat ditahan beberapa jam selepas kejadian tembak ala gengster di lampu isyarat di hadapan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, wanita berusia 36 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan ketika polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Seterpa, Peringat, di sini, selepas menerima maklumat berkaitan sebuah kereta jenis Satria Neo digunakan suspek yang melepaskan tembakan. Katanya, suspek wanita itu dibawa ke Balai Polis Binjai, di sini, untuk disoal siasat.
“Sejurus menerima maklumat kejadian itu (kejadian tembak), kita menyerbu sebuah rumah di Kampung Seterpa, Peringat. Seorang wanita yang juga anggota polis yang kini digantung tugas kerana kes khalwat ditahan ketika berada di hadapan rumah itu.
“Polis menemui satu motosikal jenis Yamaha 125Z berwarna hitam dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu. Dua suspek lelaki melarikan diri dengan Perodua Kenari milik wanita itu ke Gunung Bachok,” katanya.
beli harian metro untuk pelbagai berita menarik
No comments:
Post a Comment