KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan bercadang mewajibkan semua pemandu kenderaan komersial menjalani ujian saringan tidur (sleep test) bagi mengurangkan kadar kemalangan.
Cadangan itu bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya dan pemandu, terutama yang bekerja syif malam, supaya lebih berhati-hati dan mendapatkan tidur mencukupi sebelum memulakan pemanduan.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya masih pada peringkat perbincangan bersama Kementerian Pengangkutan bagi memutuskan perkara berkenaan.
“Kita berharap inisiatif ini mendapat sambutan dan diterima baik pemandu. Mereka lebih berisiko kerana tuntutan kerja tidak kira waktu, terutama yang memandu bas pada waktu malam, dan adakalanya perjalanan memakan masa hingga enam jam tanpa henti.
“Mereka perlukan rehat dan tidur cukup supaya tumpuan tidak terganggu ketika membawa penumpang atau barang dagangan. Sebaik-baiknya tidur lapan jam sehari bagi memastikan badan mendapat rehat sepenuhnya,” katanya ketika merasmikan World Sleep Day 2012 di pusat beli-belah Berjaya Times Square, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengasas dan Pengarah Urusan Malaysia Book of Records, Datuk Danny Oi dan Pengarah Urusan Goodnite, Datuk Edmond Chew.
Program itu bertujuan mendidik masyarakat mengenai kepentingan tidur.
No comments:
Post a Comment