3 kedai rebah


RUNTUH...kedai yang runtuh dalam kejadian hakisan tanah.
RUNTUH...kedai yang runtuh dalam kejadian hakisan tanah.
CARI...pemilik kedai mencari barangan yang hanyut.
CARI...pemilik kedai mencari barangan yang hanyut.
KLANG: “Saya baru saja masuk kedai dan sedang tunggu air teh yang dipesan tiba-tiba dengar bunyi rebak sebelum disusuli anjung hadapan senget.
“Saya dan lapan lagi pelanggan lain kemudian terus keluar melarikan diri sebelum melihat kedai itu dan beberapa lagi kedai lain tenggelam sedikit demi sedikit,” kata Kamaruddin Hanim, 31, nelayan Kampung Teluk Gong, di sini.

Dalam kejadian petang semalam, tiga kedai makan, empat stor penyimpanan barangan nelayan, sebuah kedai menjual peralatan nelayan dan sembilan bot nelayan tenggelam dihanyutkan air pasang, di Jeti Kampung Nelayan Telok Gong.
Menceritakan kembali kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu, Kamaruddin berkata, dia lega dapat menyelamatkan diri walaupun masih terketar-ketar.

“Petang-petang jika tak turun ke laut atau baru balik menangkap ikan memang saya dan kawan-kawan minum di kedai di jeti.

“Semalam (kelmarin) memang sudah ada rebak sikit tetapi tak sangka kali ini tenggelam membabitkan kedai serta stor nelayan,” katanya.
Seorang pemilik kedai makan tenggelam itu, Rahimah Sameon, 60, berkata kejadian itu dianggapnya dugaan baginya yang dijadualkan ke tanah suci Makkah menunaikan umrah hari ini.

“Apapun, saya tetap akan pergi umrah esok (hari ini). Ini saya anggap sebagai dugaan Tuhan untuk hamba-Nya.
“Saya bersyukur tidak ada sesiapa pun yang cedera dan tiada berlaku kemalangan jiwa dalam kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.16 petang sebelum tujuh jentera bomba bergegas dan tiba di lokasi kira-kira 11 minit kemudian.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Sebaik tiba, pihak kami dapati beberapa kedai sudah tenggelam secara perlahan-lahan di muara itu.

“Secara keseluruhan setakat ini tiga kedai makan, empat stor penyimpanan barangan nelayan, satu kedai menjual peralatan nelayan dan sembilan bot nelayan tenggelam dan dihanyutkan.

“Kejadian dipercayai berlaku disebabkan arus air pasang menyebabkan hakisan di tebing tempat premis itu didirikan,” katanya ketika ditemui di lokasi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...