KOTA BHARU, 11 Mac:Oki Setiana Dewi yang memilih Kelantan sebagai destinasinya untuk melancarkan buku keduanya ‘Sejuta Pelangi’ ternyata berbaloi apabila lebih 1,000 peminatnya mengunjungi majlis pelancaran itu.
Dewan Perpustakaan Awam penuh sesak dengan peminat Oki termasuk Kelab Peminat Oki Setiana Dewi hampir seluruh negara turut hadir pada majlis pelancaran itu.
Walaupun Oki melancarkan Sejuta Pelangi, namun buku pertamanya Melukis Pelangi turut menjadi tarikan peminatnya sehingga buku berkenaan turut dibeli.
Oki ternyata tidak jemu menandatangani hampir kesemua buku yang dibeli peminatnya, walaupun kelihatan wajahnya begitu letih selepas tiga hari berada di negeri Tadahan Wahyu yang mula dicintainya itu.
Oki dalam ucapannya memberitahu, setiap pengalamannya yang dilalui sebagai seorang model, artis beliau kongsi dalam setiap buku yang dituliskan.
“Mudahannya ianya dapat menjadi iktibar pada semua lapisan masyarakat untuk dijadikan iktibar,” ujarnya.
Sementara itu, pihak penganjur, Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah, ketika berucap pada majlis pelancaran itu, melahirkan rasa syukur memandangkan Oki menerima undangan ke negeri Kelantan.
Sambungnya, bukan sahaja Kelantan sebagai negeri pertama yang dikunjunginya di negara ini, sebaliknya menjadikannya sebagai tempat untuk melancarkan buku ‘Sejuta Pelangi’.
Amir Riduan, salah seorang rakan peminatnya dari Pulau Pinang, berkata beliau mengambil cuti selama dua hari bersama keluarga untuk mengikuti program Oki.
Anak Kelahiran Pulau Mutiara itu melahirkan rasa syukur kerana berkesempatan melihat dari dekat artis pujaan ramai yang diminati pelbagai peringkat usia.
sumber : Harakah
No comments:
Post a Comment