|
TAHUN 1991 menyaksikan pengenalan CBR900RR Fireblade di Pameran Motosikal Milan (EICMA) di Itali. Pada ketika itu, siapa sangka produk ikonik Honda itu bakal mengubah landskap segmen motosikal super sports global.
Tarikan utama motosikal jenama Jepun itu bukan berpaksi pada rekaan semata-mata. Ia sebenarnya berkait rapat dengan keupayaan jurutera Honda mengimbangi soal kuasa dan kawalan jentera berprestasi tinggi. Percaya atau tidak, keunikan itu berjaya diteruskan sehingga kini.
Melangkah masuk tahun 2004, Fireblade telah diberi nafas baharu. Ia bukan sekadar melibatkan aplikasi teknologi terkini, malah meningkatkan kapasiti enjin menjadi satu liter. Untuk makluman, versi Fireblade terakhir sebelum 2002 adalah bersesaran 954cc. Honda CBR900RR itu digantikan dengan model CBR1000RR (sesaran 998cc).
Dua perkembangan semasa sukan bermotor mendorong transformasi itu. Pertama, kemasukan jentera empat lejang 990cc dalam MotoGP pada tahun 2002. Kemudian diikuti pula dengan perubahan peraturan Kejohanan Superbike Dunia iaitu peningkatan kapasiti enjin jentera perlumbaan kepada 1,000cc.
Fireblade 2012
Tahun ini adalah ulang tahun Fireblade yang ke-20. Sepanjang tempoh tersebut, Fireblade menerima banyak modifikasi daripada Honda agar jentera itu berupaya memberi saingan sengit dalam pasaran.
Pembaharuan paling ketara dilakukan pada motosikal super sports itu membabitkan penggunaan kerangka lebih ringan. Tidak lupa juga aplikasi teknologi suntikan bahan api PGM-FI, peredam stereng dan suspensi belakang jenis Pro-Link.
Model CBR1000RR Fireblade versi 2012 mendukung misi tersendiri. Ia lebih cenderung ke arah menyempurnakan keselesaan dan keseronokan tunggangan berbanding menambah teknologi-teknologi elektronik pada enjin. Apa yang pasti, kuasa sepenuhnya motosikal itu berada di tangan penunggang dalam apa jua situasi tunggangan.
Baru-baru ini, Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) mengumumkan kemasukan CBR1000RR 2012 ke pasaran tempatan. Rancangan membawa masuk model CBU (import sepenuhnya) sebenarnya sudah mula dipraktikkan Boon Siew Honda sejak tahun lalu. Produk CBU pertamanya ialah CBR250R.
Untuk makluman, inilah kali pertama jentera satu liter itu dibawa masuk oleh Boon Siew Honda.
“Sebelum ini, pelanggan membeli model CBR1000RR dari Singapura atau daripada grey importer. Risiko yang terpaksa mereka tanggung adalah soal jaminan produk dan khidmat selepas jualan,” kata Timbalan Pengurus Jabatan Pemasaran Boon Siew Honda, Heah Lay Lay ketika ditemui baru-baru ini.
Bagi menjayakan misi penyempurnaan tunggangan, CBR1000RR dipasang dengan sistem penyerap hentak Balance-Free Rear Shock jenama Showa. Ia diadun pada komponen Pro-Link. Gabungan dua komponen itu meminimumkan kesan hentakan dan meningkatkan keupayaan cengkaman tayar untuk semua jenis tunggangan.
Sebagai padanan, fork hadapan jenis terbalik Showa Big Piston berukuran 43 milimeter diberikan. Ia mampu mengurangkan tekanan hidraulik ketika berlaku henjutan. Apabila membrek dengan kuat, sistem suspensi baharu itu tetap memberikan kestabilan.
Tidak lupa juga sistem peredam stereng elektronik HESD generasi kedua yang mengawasi kelajuan jentera. Pada masa sama, ia menyalurkan kuasa redaman yang bersesuaian. Paparan maklumat dipapar menerusi instrumen LCD. Antaranya kedudukan gear, meter laju, meter rpm, masa pusingan (lap), keefisienan penggunaan petrol dan jam.
Dua varian bakal ditawarkan pada Julai depan iaitu C-ABS dan standard. Harga anggaran atas jalan ialah RM109,900 dan RM98,900.
Tourer buatan Jepun
Mengiringi pengenalan CBR1000RR ialah jentera tourer GL 1800 Gold Wing 2012. Motosikal Gold Wing 2012 merupakan produk pertama keluaran kilang di Jepun. Sebelum ini, model tourer itu dipasang di kilang motosikal Marysville di Ohio, Amerika Syarikat (AS).
Aktiviti pemasangan di Ohio bermula sejak tahun 1979. Produksi diteruskan selama 30 tahun sebelum keseluruhan operasi dipindahkan ke wilayah Kumamoto, Jepun.
Gold Wing 2012 bersesaran 1,832cc dilengkapi sistem brek anti-kunci (ABS) dan sistem brek gabungan (CBS). Peningkatan tahap keselamatan turut membabitkan pemasangan Pro-Arm Rear Swingarm. Untuk keselesaan penunggang dan pembonceng, material berkualiti membaluti bahagian tempat duduk motosikal tersebut.
Sistem hiburan dan informasi turut dikemaskini menerusi sistem iPod, XM NavTraffic, NavWeather serta sistem pengaturcaraan XM.
Boon Siew Honda dijangka menawarkan dua pilihan warna Honda GL 1800 Gold Wing iaitu putih dan hitam menjelang Mei ini. Harga anggaran atas jalan ialah RM174,900 seunit.
Lay Lay memberitahu kedua-dua produk CBU itu boleh didapati menerusi kedai Impian Honda di seluruh negara. Tambahnya lagi, juruteknik-juruteknik Boon Siew Honda sudah diberi latihan membaik pulih kedua-dua motosikal itu sebagai persediaan untuk khidmat selepas jualan.
“Menjelang bulan Jun, satu lagi model motosikal jenis endure iaitu CRF250L akan diperkenalkan,” katanya. Dia turut menyatakan tambahan dua model CBU baharu bakal ditawarkan sebelum akhir tahun ini. Namun, tiada sebarang gambaran diberikan mengenai model yang dimaksudkan itu.
Kini perjalanan Boon Siew Honda semakin jelas. Syarikat itu bukan sekadar mahu menjadi jaguh dalam segmen kapcai tempatan. Mereka sudah mula bangkit dan mahu berdiri sama tinggi dengan pesaing-pesaing Jepun lain dan jenama Eropah. Apa yang pasti, semakin banyak pilihan jentera berkuasa tinggi untuk pembeli tempatan.
No comments:
Post a Comment