KUALA LUMPUR: Pelakon yang makin meningkat naik menerusi drama Apa Celop, Amanda Misbun, 23, selamat diijab kabul dengan jejaka pilihannya, Hairulzain Fauzi, 28, pada majlis akad nikah di rumah keluarganya di Pantai Hill Park, di sini, semalam.
Majlis akad nikah dilakukan bapanya, Misbun Kaimi, 65, dan majlis persandingan dihadiri 800 jemputan, termasuk keluarga rapat dan beberapa rakan artis.
Ketika ditemui selepas majlis persandingan, Amanda ternyata gembira kerana hasrat menjadi isteri tercapai selepas menjalin perkenalan dengan Hairulzain selama tiga tahun.
“Saya sangat gembira bergelar isteri kerana lelaki pilihan kini menjadi teman hidup. Saya mula mengenali Hairulzain tiga tahun lalu pada satu majlis rasmi di Bukit Kiara dan tertarik pada sifatnya yang bertanggungjawab, penyayang dan memahami kerjaya saya,” katanya.
Amanda berkata, kerjaya seninya akan diteruskan, apatah lagi dengan sokongan padu suami untuknya terus berjaya.
Kedua-dua mempelai tampak anggun mengenakan busana tradisional moden rona putih rekaan Hatim Thai dan Taufik Tailor.
Amanda kemudian menerima mas kahwin RM333 selain tujuh dulang hantaran termasuk sirih junjung, persalinan solat, seutas rantai bersama cek hantaran bernilai RM11,111, kaca mata hitam, minyak wangi dan kek dibalas dengan sembilan dulang daripada pihak perempuan.
Mengenai rancangan berbulan madu, Amanda berkata, dia dan suami merancang bercuti ke New Zealand namun belum menetapkan tarikh sesuai kerana kesibukan tugas masing-masing.
Sementara itu, Hairulzain berkata, dia tidak akan menyekat minat isterinya berlakon dan sentiasa memberi sokongan supaya Amanda berjaya dalam kerjayanya.
Usahawan muda yang juga pengasas HZ (H-Zee) Skateboards itu memahami kerjaya artis dan membuat keputusan akan terus membenarkan isterinya berlakon sebelum mengahwini Amanda.
No comments:
Post a Comment