ANGGOTA bomba dan penyelamat menjalankan siasatan di rumah mangsa di Jalan Seri Kembangan 6/1, semalam. - Foto Farizul Hafiz Awang
SERI KEMBANGAN: Seorang ibu dan dua anak perempuannya ditemui rentung dalam keadaan berpelukan di bilik tidur selepas terperangkap dalam kebakaran di rumah teres mereka di Jalan Seri Kembangan 6/1, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, Yap Siew Yiee, 5 dan Yap Siew Yoon, 6, ditemui rentung dalam pelukan ibu mereka, warga Vietnam, Huyah Thi Ngoc Thao, berusia 30-an, di atas katil bilik utama rumah mereka dipercayai gagal keluar menyelamatkan diri.
Dalam kejadian itu, suami mangsa, Yap Yao Chong, 43, turut mengalami kecederaan teruk apabila melecur lebih 50 peratus badannya dan ditemui tidak sedarkan diri di luar pintu bilik tidur itu.
Bagaimanapun, dua lagi perempuan yang berada di rumah itu, termasuk adik Huyah, Lam Thi Bich Phufong, 16 dan sepupunya berusia 18 tahun yang identiti mereka belum dikenal pasti terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Serdang, Zulkifli Sailan, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 2.55 pagi.
“Ketika kebakaran, enam ahli keluarga berada dalam rumah itu dan tiga beranak iaitu ibu bersama dua anak perempuannya berusia lima tahun dan enam tahun ditemui rentung di dalam bilik tidur mereka.
“Suami mangsa pula ditemui tidak sedarkan diri di luar pintu bilik mangsa, manakala dua lagi perempuan yang berada dalam rumah itu berjaya menyelamatkan diri.
“Punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Beliau berkata, api berjaya dipadamkan dalam tempoh 15 minit, bagaimanapun 80 peratus rumah itu musnah, selain dua rumah bersebelahan turut rosak pada bahagian depan.
Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, beliau mendengar suara pasangan suami isteri itu bertengkar di rumah mereka lewat malam kelmarin sebelum dikejutkan dengan berita kebakaran pada jam 3 pagi, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias yang dihubungi berkata, siasatan berhubung punca kebakaran masih dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Katanya, polis akan menjalankan siasatan punca kejadian daripada pelbagai sudut, termasuk kemungkinan jika mangsa membunuh diri.
No comments:
Post a Comment